Perbalahan dalaman faktor besar berbanding GST UMNO tersungkur

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, krisis dalaman menjadi faktor besar berbanding isu nasional seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) parti Melayu itu tersungkur pada pilihan raya umum lalu.

“Kami tidak tahu apa sebab sebenar. Kita perlu tunggu kajian empirikal disiapkan. Tetapi saya percaya UMNO kalah di kawasan di mana ada berlakunya perbalahan dalaman,” kata Nazri sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita online.

Menurutnya, perbalahan dalaman itu menyebabkan ahli dan penyokong menentang parti.

Justifikasi beliau dalam analisisnya itu berdasarkan kepada fakta bahawa UMNO menang di kawasan di mana bahagiannya bersatu seperti Bagan Datoh, Pasir Salak, Parit, Lenggong dan Padang Rengas di Perak.

“Ini adalah kawasan di mana UMNO menang kerusi Parlimen dan kekal atau menawan kerusi Dedwan Undangan Negeri (DUN) yang pernah tewas sebelum ini. Mereka juga mempunyai bahagian yang stabil,” katanya.

Analisisnya itu bertentangan dengan beberapa penganalisis politik yang berpendapat pengundi tidak mengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana GST dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tegas Nazri, jika kekalahan UMNO itu disebabkan isu nasional, ia sepatutnya menjejaskan semua kerusi.

“Jika mereka kata GST? Orang kampung tidak terjejas. Kedai runcit di kampung tidak ada pulangan tahunan RM500,000. Mereka tidak ada GST.

“Jadi ia bukan isu nasional. Tetapi ini juga masih tertakluk kepada analisis,” jelasnya. – 7 Jun 2018.

Leave a comment