Featured

Suara UMNO penuh angkuh

Suara UMNO penuh angkuh dan melihat rakyat sebagai bodoh. Itulah hakikat ketuanan Melayu UMNO yang telah membawa kepada kemusnahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Keangkuhan itu dilihat ketara selepas BN menang besar dalam PRU11 pada tahun 2004. Ia ditularkan menerusi teknologi informasi milenia. Kemudian apabila UMNO sendiri mendakap media sosial sebagai elemen taktikal penting mereka, pejuang siber mereka telah dengan jayanya mengeksport keangkuhan ini dan membantu membuat lebih ramai rakyat jemu, muak dan menyampah. Lantaran itu tumbanglah BN seperti yang kita saksikan pada pagi 10 Mei 2018.

Kejatuhan BN yang direncanakan oleh UMNO sebenarnya mengambil masa 14 tahun, iaitu selepas era pertama Tun Dr. Mahathir Mohamad. UMNO seperti kita tahu diterajui oleh ‘Mr. Clean’ Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi satu era yang melihat kerajaan dan kabinetnya dilamun mimpi enak menerusi tidur panjang di ranjang empuk. Siapa yang menganggu tidur itu akan dicemuh dan dikeji.

Akibatnya, pemimpin bernama Abdullah yang mengakui dirinya pantang dicabar telah dicabar rakyat. Masyarakat bukan bumiputera yang empat tahun sebelumnya telah memberi sokongan penuh kepada Abdullah, bersatu menerajui kebangkitan sosial menerusi pelbagai tuntutan. Mereka mendapat sokongan kelompok bumiputera urban dan sebahagian kelompok bumiputera intelektual. Manakala sebahagian lagi kelompok bumiputera intelektual yang kekal bersama UMNO mengambil kesempatan mengampu untuk kedudukan dan membodek untuk masa depan diri sendiri.

Datang PRU12, mitos bahawa BN tidak boleh ditumbangkan akhirnya lebur. Abdullah sebagai Pengerusi BN menyaksikan jatuhnya Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan majoriti kerusi-kerusi urban seluruh negara. Kelantan pula terus kekal dengan PAS. Tanda-tanda negeri Pantai Barat lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan akan menyusul juga sudah boleh disaksikan.

Era Abdullah menyaksikan kejatuhan empat negeri buat kali pertama melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Abdullah dikejutkan dari tidurnya dan satu pelan peralihan kuasa dihidangkan. Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk kepimpinan UMNO dan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam.

Kita tidak boleh lari dari merasa sedikit simpati terhadap Najib kerana mengambil alih kuasa dalam suasana yang amat malap bagi BN. Di luar sana warga bukan bumiputera telah bulat menolak BN. Selain UMNO, parti-parti komponen BN di Semenanjung sudah kehilangan sokongan teras mereka. Warga bukan bumiputera mula yakin bahawa era orde baru politik Malaysia sudah bermula dan BN boleh digulingkan secara demokratik.

Najib bersuara, UMNO perlu berubah atau rebah. Najib berusaha memenangi jiwa dan perasaan warga bukan bumiputera tetapi diserang oleh kelompok ekstrem kanan Melayu. Serba-serbi usaha Najib menjadi tidak kena. Setiap langkah ke hadapan oleh Najib seolah tergugat oleh warlords dalam UMNO menyebabkan beliau terpaksa berundur setapak dua ke belakang. Najib menempuh PRU13 dalam keadaan diluah mati mak, ditelan mati bapak.

PRU13 menyaksikan prestasi baik untuk UMNO tetapi jumlah kerusi BN terus merosot. PRU13 menyaksikan BN mengambil semula Kedah dan mempertahankan Perak yang kembali kepada BN selepas PRU12 menerusi aksi berpaling tadah ADUN PKR dan DAP namun sebaliknya hanya 48% pengundi memilih BN. Najib mengklasifikasikan kejadian ini sebagai Tsunami Pengundi Cina.

Pengundi Cina mungkin kecewa kerana BN tetap gagal digulingkan secara demokratik tetapi mereka terus boleh berlapang dada kerana keputusan PRU13 menyaksikan semakin robohnya kota BN di Melaka, Negeri Sembilan dan kini, Johor.

Bagaimana kepimpinan Najib memilih untuk berdepan dengan Tsunami Pengundi Cina ini?

Pertama, dengan membawa UMNO menjadi ‘lebih Islam’ dari PAS. Warlord UMNO sudah mula bersuara menekan PAS untuk mengetengahkan semula agenda hukum hudud. Kononnya secara politik ia adalah agenda untuk ‘check mate’ PAS dan secara Islamnya, ini ruang untuk UMNO mengukuhkan agenda Melayu.

UMNO seolah-olah tidak pernah mengambil kira agenda ini akan ‘backfire’ menyebabkan BN kehilangan sekelompok bumiputera yang memilihnya selama ini. Sebarang suara menuntut BN kembali ke asalnya di cop sebagai penyokong LGBT, murtad, kafir harbi dan lain-lain panggilan.

Pejuang siber UMNO menjadi cukup hebat dalam menyingkirkan sokongan kelompok moderate dari BN. Pasca 2013, UMNO bukan lagi angkuh, tetapi menjadi ‘super angkuh’. Menerusi jentera media sosial dan media massanya seolah bersedia untuk berperang dengan sesiapa sahaja tanpa mengambil peduli keupayaan mereka dan kemungkinan mereka terkepung dalam peperangan 360 darjah.

Lebih merisaukan, tiada siapa dalam barisan kepimpinan UMNO mampu atau mahu menegurnya. Rakyat yang tidak bersetuju dengan Kerajaan BN dianggap bodoh dan perlu disekolahkan habis-habisan.

Apabila datangnya isu 1MDB dan isu derma RM2.6 bilion, kelompok Melayu moderate ini seolah beroleh semangat baharu untuk kembali menilai kewibawaan BN. Ini adalah peluang untuk memulihkan keyakinan mereka.

Tiba-tiba satu demi satu nama jatuh seperti domino bermula dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Gani Patail dan lain-lain. Rakyat tergamam. Inikah Ketuanan Melayu? Mana suara pejuang-pejuang agama, bangsa dan tanah air dalam UMNO?

Rupa-rupanya, pada hari itu, bukan sahaja Bilik Bukti di Bukit Aman yang terbakar hangus, tetapi jika ada secebis keyakinan kelompok moderate bumiputera terhadap BN, ia juga telah hangus.

Namun, detik dan saat itu BN masih boleh mempertahankan kuasanya kerana terdapat kelompok pengundi BN yang sudah berkerat rotan untuk tidak lagi mengundinya tetapi tidak yakin untuk mengundi pakatan pembangkang. Kaum Melayu dalam kelompok ini tidak rela kerana adanya DAP dalam pakatan itu. Ada juga tidak sudi kerana mereka tidak boleh menerima PKR yang perjuangannya hanya mahu menaikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Maka apabila Dr. Mahathir diangkat menerajui Pakatan Harapan dan kemudiannya dinamakan sebagai calon tunggal pembangkang untuk jawatan PM, halangan sudah tiada untuk kelompok moderate bumiputera ini memberi sokongan membolehkan BN diketepikan dari tampuk kuasa.

Kelompok ini mungkin kecil, tetapi merekalah sebenarnya yang merebahkan BN. Semakin lambat Najib membubarkan Parlimen, semakin memberi kelebihan kepada lawan BN. Semakin Mahathir diserang dan dilanyak, semakin ramai yang bersimpati dengannya. Semakin ramai anak muda mendaftar untuk mengundi, semakin bertambah sokongan kepada lelaki berusia 92 tahun ini.

UMNO masih lagi hanyut ketika era pentadbiran Najib yang menyebabkan kejatuhan paling teruk parti Melayu itu.

UMNO pula terus dilambung keegoan melampau. Mereka masih melihat diri mereka sebagai pejuang agama, bangsa dan tanahair sedangkan ketika itu UMNO hanyalah ‘afterthought’ bagi minoriti rakyat Malaysia.

Akhirnya, hanya nyawa Dr. Mahathir yang menentukan nasib BN dan ketika beliau terus bernafas serta gagah pada usia hampir satu abad itu, matilah BN.

Maka pada dinihari 10 Mei 2018, UMNO dikejutkan dengan kematian empayar pemerintahan BN. Kuburnya tidak disirami air mawar dan ditaburi bunga-bungaan kerana ada yang belum menerima hakikat tersebut. Lantaran usaha dijalankan untuk menghidupkan semula sebuah kerajaan alternatif dengan membelakangkan aspirasi rakyat Malaysia.

Ini tidak pelik kerana itulah UMNO yang membelakangkan aspirasi rakyat dengan bersembunyi di sebalik kalimah agama, bangsa dan tanahair.

Sebulan berlalu, UMNO mungkin sudah bangkit semula kerana suara-suara ‘super angkuh’ sudah kembali mengisi ruangan media sosial dan media massa. Hanya satu yang mungkin betul sejak sebulan ini, iaitu apabila Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat kunjungan memohon pandangan dan nasihat dari Dr. Mahathir.

Boleh kita bayangkan, senyum penuh menyindir dari Dr. Mahathir sepanjang pertemuan itu. Sudah pasti bagi Dr. Mahathir, UMNO yang dipimpin Zahid tidak perlu dipulihkan kerana UMNO sebenar ialah sebuah parti yang mempunyai 13 kerusi di Parlimen dan bukan yang memenangi 54 kerusi itu.

*Datuk Syed Azidi Syed Abdul Aziz ialah perunding politik bebas.

*Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net.

Tiada kontrak penjawat awam ditamatkan jika BN menang

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Tiada kontrak penjawat awam akan ditamatkan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Malangnya, kita tidak menang. Mereka yang mengundi Pakatan Harapan mungkin membuat keputusan selepas dipengaruhi oleh kempen kebencian.

“Mereka tidak melihat perkara yang baik Barisan telah lakukan, kini mereka hanya menyesal,” katanya pada majlis berbuka puasa di Masjid Kampung Padang Polo, Pekan malam tadi.

Najib memberitahu, baru-baru ini beliau terbaca tulisan seorang bekas guru Kelas Agama Fardhu Ain (Kafa) yang menyesal mengundi Pakatan.

“Dia tidak pernah memikirkan kedudukannya yang selalu dipertahankan oleh kerajaan Barisan. Hanya beberapa hari selepas Pakatan mula berkuasa, kontraknya ditamatkan.

“Apabila dia melihat wajah dua anaknya, dia hanya menangis,” kata Najib. – 13 Jun 2018.

UMNO hormati keputusan parti komponen Sarawak

UMNO menghormati keputusan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak yang bertindak meninggalkan gabungan parti itu.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya percaya keputusan itu telah difikirkan secara mendalam oleh pimpinan terbabit dengan mengambil kira senario politik semasa.

Kata Annuar, beliau telah berhubung dengan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini berada di Mekah bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Saya diarahkan oleh pengerusi BN supaya mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini.

“Kita percaya mereka (komponen di Sarawak) telah fikirkan secara mendalam dan sudah tentu kepentingan rakyat Sarawak dan negeri telah diambil kira,” katanya kepada media ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di Kota Bharu Kelantan.

Terdahulu, empat parti utama komponen Sarawak dilaporkan keluar daripada gabungan BN iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresi (PDP).

Semua parti berkenaan kini membentuk pakatan baharu yang dikenali sebagai Gagasan Parti Sarawak (GPS).

Langkah itu bermula dengan kenyataan Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 16 Mei lalu bahawa parti itu akan mengkaji semula kedudukan dalam BN, sehinggalah kepada pertemuannya dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad minggu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Annuar berkata, pembentukan GPS mungkin dibuat bagi memudahkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan.

“Itu mungkin sebagai salah satu cara untuk memudahkan urusan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan,” katanya. – 13 Jun 2018.

Kelab Pesara Kerajaan Buang perkataan UMNO

Kelab UMNO Pesara Kerajaan Malaysia mengeluarkan perkataan UMNO pada nama kelab tersebut dan ‘menjenamakan’ semula dengan nama baharu iaitu Kelab Pesara Kanan Kerajaan Malaysia.

Tindakan itu selari dengan prinsip kelab bagi memberi sokongan kepada kerajaan semasa.

Menurut anggota jawatankuasa kelab berkenaan, Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah, mesyuarat agung kelab yang berlangsung semalam memutuskan perkataan UMNO dan semua perkataan UMNO dalam perlembagaan (kelab) dibuang dan menyokong kerajaan semasa tanpa berbelah bahagi.

“Ia selari dengan prinsip memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada. Maksudnya, kelab ini menyokong kerajaan pada masa ini, Pakatan Harapan.

“Dulu BN (Barisan Nasional) dan kini kita beri sokongan pada kerajaan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Full stop,” katanya kepada Malaysiakini.

Ibrahim mengulas pengesahan surat daripada kelab berkenaan kepada pesara kerajaan agar menyokong calon BN pada pilihan raya umum ke-14.

Ditanya mengenai kesahihan surat itu, Ibrahim tidak menafikannya dan memberitahu ia dibuat atas dasar memberi sokongan pada kerajaan ketika itu iaitu BN.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, mana-mana pekerja sama ada masih bekerja dalam sektor kerajaan atau tidak mengamalkan konsep menyokong kerajaan sedia ada.

“Ia termasuk pihak tentera, polis dan pegawai tadbir diplomatik (PTD),” katanya.

Justeru, Ibrahim berpendapat apa yang dilakukan kelab berkenaan adalah wajar.

“Kalau tidak, semua askar, semua polis, PTD akan kena marahlah sebab mereka dulu semua menyokong kerajaan sedia ada.

“Jadi bila kerajaan Tun Mahathir diwujudkan, semua pegawai kerajaan, polis, tentera, PTD ke akan menyokong kerajaan Tun Mahathir. Baru negara kita akan bergerak ke hadapan,” katanya seperti mana dilaporkan.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, Ibrahim yang juga seorang senator berkata, Malaysia akan ‘hancur’ dalam tempoh dua tahun sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara. – 13 Jun 2018.

Media arus perdana sudah mati

Saya cukup berminat memberi tindak balas kepada jemputan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim “go ahead and critise” (dipersilakan dan kritiklah) seperti yang dijadikan tajuk berita oleh akhbar The Sunday Star hari ini.

Tetapi mengambil pengajaran daripada respons beliau kepada tulisan saya dalam blog ini bertajuk “Constitution: The King and The Pauper” serta menghormati nasihat sahabat seperjuangan saya di Kumpulan New Straits Times dulu, saya akan berdiam diri.

Tetapi ini tidak menghalang saudara saudari menyahut pelawaan ketua umum Pakatan Harapan (HARAPAN) itu. Boleh bahas (kritik) di sini (blog saya) kalau mahu.

Sejak tahun 1980-an sampai sekarang sahabat saya itu sangat rapat dengan Anwar. Jadi bila dia berkata yang Anwar marah kepada saya pasal tulisan saya mengenai Yang di-Pertuan Agong, maka memanglah betul dia marah.

Almarhum ayah saya bagi nasihat, orang tengah marah jangan ditambah kemarahannya.

Lagipun saya ada mengulas mengenai kebebasan dan hak bersuara ini dalam tulisan di akhbar Sinar Harian. Kalau belum baca, boleh baca.

Apa yang saya nak bincang kali ini dicetuskan oleh bekas Pengarang Kumpulan NSTP, Mustapha Kamil, dalam Facebook beliau hari mengenai dilema media massa yang dulu tegar menyokong Umno/ Barisan Nasional.

Saya setuju dengan Mustapha yang kita perlu memahami apakah pendekatan dan hala tuju mereka selepas UMNO/ BN disingkirkan oleh rakyat jelata pada 9 Mei lalu.

Bukan Arus Perdana Lagi

Mula-mula sekali label apakah yang hendak kita bagi kepada mereka. Label media arus perdana (MAP) tentunya sudah tidak sesuai sebab mereka bukan perdana lagi.

Arus perdana yang menjadi monopoli UMNO/BN selama lebih 60 tahun telah dipadamkan oleh tsunami rakyat pada 9 Mei lalu.

UMNO/BN hanya dapat dalam 34 peratus saja undi. HARAPAN 48.31 peratus dan Gagasan Sejahtera (PAS) dapat dalam 17 peratus. Jadi Umno/ BN bukan perdana lagi.

Pengarang media milik parti-parti BN seperti Utusan Melayu, Media Prima/ NSTP dan The Star tentulah, kalau boleh, tentulah hendak mengaku diri mereka media bebas.

Betullah sejak kekalahan teruk UMNO/BN dan kemenangan HARAPAN mereka mula memberi liputan kepada kerajaan baru HARAPAN. Dulu mereka bagi liputan kepada HARAPAN dengan tujuan mengutuk, menghina dan mempersendakan.

Selepas kemusnahan UMNO/BN hatta TV3 yang menjadi ketua kepada gerombolan media arus perdana ini pun sudah tukar kecenderungan ibarat sesumpah. Begitu juga dengan akhbar Utusan Melayu, Berita Harian, Kosmo, New Straits Times, Harian Metro dan The Star.

Tetapi bagi saya, mereka tidak layak mengaku diri mereka media bebas kerana masih dikuasai dan ditadbir oleh UMNO/ BN.

Akhbar percuma The Sun milik tauke Sports Toto (Tan Sri) Vincent Tan itu pun tidak boleh dikira bebas kerana kecondongan pemberitaannya memihak kepada kerajaan UMNO/BN.

Begitu juga dengan The Malay Mail yang dimiliki oleh (Datuk) Siew Ka Wei. Siew diketahui umum sebagai kawan akrab bekas perdana menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd. Najib Abdul Razak.

Yang boleh dianggap media bebas ialah akhbar Sinar Harian dan The Edge dan sedikit sebanyak saluran TV Astro Awani.

Hatta Bernama dan RTM pun banyak berbau politik UMNO/BN walaupun mereka sepatunya berkecuali 100 peratus kerana bukan milik parti tetapi milik negara.

Daripada apa yang saya hidu, TV3, Utusan Melayu, Berita Harian, Kosmo, New Straits Times, Harian Metro dan The Star masih mengamalkan dasar pro-UMNO/ BN.

Laporan mereka berkenaan kerajaan baru HARAPAN lebih bertujuan mengabui mata umum bahawa mereka telah berubah.

Mereka juga oportunis dengan mengambil kesempatan daripada sokongan besar kepada HARAPAN untuk melariskan semula jualan mereka yang merudum kerana kebencian pelanggan terhadap kerajaan kleptokrasi Najib Razak.

Media milik UMNO/BN dan yang pro-Najib tidak akan mencapai kebebasan tulen dan berpanjangan selagi saham dan pengurusan mereka dikawal oleh parti-parti BN dan usahawan pro-Najib.

Soal masa depan pemilikan turut menjadi pertimbangan kritikal kerana boleh dikatakan semua media milik parti-parti BN, kecuali mungkin The Star, mengalami kerugian teruk.

Kerugian yang dideritai oleh Utusan Melayu semakin besar dan ia mungkin kehabisan modal dalam masa beberapa bulan berikutan kekalahan UMNO.

Selama ini UMNO dan kerajaan BN memberikannya bantuan kewangan dan kontrak sebagai talian hayat.

Hatta Kumpulan Media Prima/ NSTP yang satu masa dulu amat hebat prestasinya sehingga mampu membiayai penubuhan bank, stesen TV, telekomunikasi, perhotelan, hartanah, insurans dan pelancongan kini bernyawa ikan.

GLIC Tanggung Rugi

Penyelesaian masalah kewangan mereka menjadi semakin mendesak kerana sebahagian pemegang saham utama mereka – selain UMNO – adalah tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Tabung Haji.

Dalam kes Media Prima, ada laporan mengatakan kerajaan Malaysia turut memiliki saham yang banyak. Kalau ini betul, maksudnya saham itu sekarang dimiliki kerajaan HARAPAN. Secara peribadi saya rasa tidak wajar kerajaan memegang saham dalam syarikat media.

GLIC pula tidak boleh terus memodali syarikat-syarikat milik Umno/ BN yang buruk prestasi kewangannya kerana ini akan memberi kesan negatif kepada pencarum dan pemegang unit mereka.

Kesimpulannya, oleh sebab kerajaan HARAPAN komited kepada kebebasan bersuara, maka adalah penting bagi kumpulan media milik parti-parti BN serta pengarang dan wartawan mereka memikirkan apakah peranan mereka dalam Malaysia baru ini.

Mereka perlu memikirkan harga diri, etika dan profesionalisme kewartawanan.

Mereka tidak boleh terus memperdagangkan mata pena mereka semata-mata kerana wang. Wartawan cari makan mungkin tidak ada tempat yang sah dalam dunia media era HARAPAN.

A KADIR JASIN ialah wartawan veteran dan mantan ketua pengarang Kumpulan NSTP. Tulisan ini dipetik langsung dari blog beliau.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Sokmo.Net.

Tiada lagi jemaah haji 1MDB

Kerajaan tidak akan menghantar lagi jemaah haji melalui “program amal” yayasan 1MDB yang disifatkan sebagai “wang curi” oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Ramai orang tidak akan dapat melaksanakan haji kali ini kerana kerajaan tidak akan membayar haji mereka dengan wang yang dicuri.

“Jika anda mahu, kita boleh mencuri dan bayar, tetapi kita tidak percaya pada cara mencuri wang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam di Tokyo, Jepun dengan warga Malaysia.

Program tersebut diilhamkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2011.

Pada tahun ini ia masuk tahun kelapan dan telah menghantar lebih 5,711 golongan agamawan dan pemimpin akar umbi menunaikan haji.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib tewas kepada Pakatan Harpan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

Kerajaan BN memerintah selama lebih 60 tahun dan kekalahan itu menjadi sejarah hitam buat mereka (BN).

Najib dan rakan-rakannya dituduh memperalatkan 1MDB untuk menyalahgunakan dana daripada syarikat milik negara itu.

Mahathir berkata, kerajaan PH terpaksa memulihkan negara dan menangani hutang besarnya RM1 trilion. – 11 Jun 2018.

Perbalahan dalaman faktor besar berbanding GST UMNO tersungkur

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, krisis dalaman menjadi faktor besar berbanding isu nasional seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) parti Melayu itu tersungkur pada pilihan raya umum lalu.

“Kami tidak tahu apa sebab sebenar. Kita perlu tunggu kajian empirikal disiapkan. Tetapi saya percaya UMNO kalah di kawasan di mana ada berlakunya perbalahan dalaman,” kata Nazri sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita online.

Menurutnya, perbalahan dalaman itu menyebabkan ahli dan penyokong menentang parti.

Justifikasi beliau dalam analisisnya itu berdasarkan kepada fakta bahawa UMNO menang di kawasan di mana bahagiannya bersatu seperti Bagan Datoh, Pasir Salak, Parit, Lenggong dan Padang Rengas di Perak.

“Ini adalah kawasan di mana UMNO menang kerusi Parlimen dan kekal atau menawan kerusi Dedwan Undangan Negeri (DUN) yang pernah tewas sebelum ini. Mereka juga mempunyai bahagian yang stabil,” katanya.

Analisisnya itu bertentangan dengan beberapa penganalisis politik yang berpendapat pengundi tidak mengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana GST dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tegas Nazri, jika kekalahan UMNO itu disebabkan isu nasional, ia sepatutnya menjejaskan semua kerusi.

“Jika mereka kata GST? Orang kampung tidak terjejas. Kedai runcit di kampung tidak ada pulangan tahunan RM500,000. Mereka tidak ada GST.

“Jadi ia bukan isu nasional. Tetapi ini juga masih tertakluk kepada analisis,” jelasnya. – 7 Jun 2018.

Kerajaan sepatutnya gugur jawatan Kadir Jasin

Seorang perunding politik bebas, Datuk Syed Azidi Syed Abdul Aziz membidas kaedah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Abdul Kadir Jasin mendedahkan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau tidak menafikan hak untuk menyuarakan pandangan tetapi wartawan veteran itu perlu lebih berhemah dan tertib dalam hal tersebut.

“Saya tidak tau sama ada pendedahan itu dengan niat menghasut rakyat mempersoal perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong. Saya berharap dia (Abdul Kadir) tidak berniat begitu,” katanya.

Abdul Kadir dalam catatan blognya mengatakan selama 16 bulan sehingga April tahun ini, sejumlah RM256.9 juta diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk penginapan, kediaman dan istana, barangan peribadi, pengangkutan dan kapal terbang, latihan dan kelengkapan pengiring, pakaian dan barangan majlis, hadiah cenderahati, lawatan luar negara dan gaji kakitangan istana.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sumber maklumat butiran perbelanjaan itu.

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan hanya memperuntukkan RM13.5 juta setahun kepada Agong.

Mengulas lanjut, Syed Azidi berpendapat adalah wajar kerajaan menggugurkan Abdul Kadir dari jawatannya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan bagi mengelak majlis itu serta Kerajaan Malaysia sendiri terpalit dengan tulisan Abdul Kadir.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membidas kenyataan Abdul Kadir dengan berkata, beliau perlu menunjukkan penghormatan dan ketertiban dalam hal ini.

Katanya, kritikan itu juga dibuat tanpa memberi peluang kepada Institusi Raja-raja Melayu untuk memberi respons.

“Sekiranya buat kritikan sebegini tanpa memberi peluang kepada Raja-Raja Melayu untuk jelaskan jawapan, ia tidak sihat terutamanya menggunakan kedudukan yang ada,” kata Anwar. – 7 Jun 2018.

Mat UMNO umum tanding Presiden UMNO

Seorang penulis blog mengumumkan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu.

Rahmat Azim Abdul Aziz, atau lebih dikenali sebagai @MatUmno di Twitter, dilaporkan telah menghantar borang pencalonannya kepada Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam.

“Saya rasa UMNO perlukan nafas baru untuk terus ke depan.

“Kegagalan pemimpin terdahulu perlu diambil kira untuk memastikan survival UMNO,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan akan bertanding bagi jawatan tertinggi itu.

Rahmat menjadi pencabar pertama buat Ahmad Zahid.

Rahmat berkata, beliau yakin UMNO mempunyai pemimpin muda yang mampu mengembalikan kekuatan parti itu selepas tersungkur dalam pilihan raya umum lalu.

“Saya menggesa mereka untuk berani ke depan dan bersama saya memimpin UMNO, yang akan lahir semula dengan kekuatan dan semangat baru,” katanya. – 7 Jun 2018.

Samy Vellu dimasukkan ke IJN

Bekas Presiden MIC Tun S Samy Vellu dilaporkan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami muntah-muntah tengah hari semalam, kata setiausaha akhbarnya Datuk E Sivabalan.

Beliau berkata, Samy Vellu, 82, akan diletakkan di bawah pengawasan doktor selama beberapa hari sehingga keadaannya kembali pulih.

“Tun datang ke pejabatnya di KL Sentral selepas menghadiri majlis keluarga yang diadakan di rumahnya hari ini.

“Kemudian dia muntah semua yang dimakannya sebelum itu dan saya menghantarnya ke IJN untuk melakukan ujian lanjut. Doktor telah melakukan semua ujian yang sepatutnya.

“Saya dapat beri jaminan tiada apa yang perlu dibimbangkan. Keadaan beliau kini baik. Beliau hanya perlu berehat,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas mesej yang tular di media sosial media bahawa Samy Vellu mengalami serangan jantung.

Sivabalan berkata, keluarga Samy Vellu mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakannya supaya cepat sembuh dan mereka yang menghubungi untuk bertanyakan keadaan kesihatan Duta Khas Malaysia untuk infrastruktur bagi India dan Asia Selatan itu. – Bernama, 6 Jun 2018.

Kabinet baharu lebih kecil berbanding zaman Najib

Perdana Menteri Tun Dr. Mahatnir Mohamad dijangka melengkapkan kabinetnya dengan mengumumkan seramai 15 lagi menteri dalam masa terdekat.

Buat masa ini kabinet Malaysia mempunyai 13 orang menteri, tidak termasuk Dr. Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Keputusan itu bakal menyaksikan kabinet Dr. Mahathir lebih kecil (iaitu 28 menteri) berbanding 35 (menteri) pada zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Memetik laporan portal berita online, sumber Pakatan Harapan (PH) memberitahu, perbincangan mengenainya masih berlangsung di antara gabungan parti berkenaan.

“Kami belum membuat keputusan muktamad tetapi ia akan diumumkan dalam minggu ini,” kata sumber tersebut sebagaimana dilaporkan.

Gabungan PH terdiri daripada PKR, PPBM, PAN dan DAP.

Menurut sumber berkenaan, menteri baharu yang akan diumumkan nanti turut menyaksikan empat wakil dengan masing-masing dua untuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, PH berusaha membina pasukan kabinet yang kukuh.

“Ia sukar tetapi saya yakin kami mampu memberikan perkhidmatan yang sepatutnya kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Selain Dr. Mahathir 13 menteri lain mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Mei lalu. – 6 Mei 2018.

Gabenor BNM: Nor Shamsiah bakal ganti Muhammad

Bekas timbalan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd. Yunus bakal dilantik sebagai Gabenor BNM baharu menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Reuters melaporkan rundingan sedang diatur dengan Nor Shamsiah berhubung perkara tersebut.

Nor Shamsiah meninggalkan BNM pada 2016 iaitu tujuh bulan selepas gabenornya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berundur dari bank pusat berkenaan dan menyertai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Muhammad dikatakan akan meletakkan jawatan selepas menerima kritikan  Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin berhubung perjanjian jual beli tanah bernilai RM2 bilion untuk menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nor Shamsiah sebelum ini terbabit dalam pelan pengukuhan dasar sistem perbankan semasa Asia dilanda krisis kewangan.

Beliau juga pernah terbabit dalam penyediaan peraturan dan garis panduan bagi sektor kewangan. – 6 Jun 2018.